Friday, February 18, 2011

Skim latihan khas bagi siswazah menganggur


17/07/2010 1:55pm


SEGAMAT – Kerajaan hari ini melancarkan satu skim latihan khas bagi melengkapi para siswazah yang baru menamatkan pengajian dan yang masih menganggur dengan kemahiran yang diperlukan oleh industri sejajar dengan matlamat Model Baru Ekonomi (MBE) untuk menjadikan Malaysia negara berpendapatan tinggi.
Menteri Sumber Manusia, Datuk Dr. S. Subramaniam berkata, melalui skim dikenali sebagai Program Kebolehpekerjaan Siswazah (PKS) itu, para siswazah bukan sahaja berpeluang meningkatkan peluang masing-masing bagi mendapatkan pekerjaan, tetapi juga menjadi lebih inovatif dan kreatif, sejajar dengan matlamat MBE.
Katanya, RM10.5 juta telah diperuntukkan bagi menjayakan skim itu, yang akan dikendalikan oleh Pembangunan Sumber Manusia Berhad (PSMB) di bawah kementerian berkenaan.
“Matlamat PKS ialah untuk meningkatkan kemahiran dan kecekapan siswazah bagi menjadikan mereka lebih bersedia untuk memasuki pasaran kerja yang menawarkan gaji lebih tinggi, di samping membantu siswazah yang kurang bernasib baik dalam mendapatkan pekerjaan kerana ketiadaan kemahiran,” katanya ketika melancarkan skim itu di sini.
Ketika memperkenalkan MBE Mac lepas, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, MBE akan menjadikan Malaysia lebih berdaya saing di peringkat serantau dan global melalui faedah yang dibawanya kepada semua rakyat Malaysia apabila pendapatan per kapita mereka meningkat daripada AS7,000 sekarang kepada AS$15,000 menjelang akhir dekad ini.
Subramaniam berkata, siswazah yang berminat menyertai skim itu boleh memuatkan turun borang permohonan dengan melayari laman web www.hrdf.com.my atau menghantar permohonan masing-masing kepada PSMB. – Bernama

No comments:

Post a Comment